15 Mac 2012

shoot my girls

pagi2 dah ajak en.hubby g outing kat bukit jalil...kat atas bukit tu...ada cempaka putih...bunga yg aku suka sangat...nanti kalu pindah umah baru... aku nak tanam bunga cempaka ni...nak release tension lah...bnyk sgt kerja tak terbuat....lepas shoot gambar anak2 aku ni....edit...& leh ler wat asigmnt, tanda ketas exam, tanda buku....talent confirm my girls si aisy ngan alya....susahla nk amik gambar sikecik ni...asyik nak main jer...dapatlah gambar2 yang aku upload ni....




kasut & baju dah ready....jom kita shoot....
























 



nyamok la......gatal....tolong aaaaaa...........






09 Mac 2012

suka la lagu yuna ni...layannnnnn....


bby boy????????


Teringin juga nak dapat baby boy...kalau dapat best juga...jom kita try petua ni....
Merancang anak lelaki


Petua ni hasil pembacaan saya dalam beberapa majalah... tidaklah boleh dijamin sepenuhnya keberhasilannya. Hanya dengan  izin Allah s.w.t.doa sahaja yang penting...namun Allah menggalakkan kita berusaha....

Sebenarnya benih lelaki menjadi penentu jantina bayi kerana benih-benih tersebut ada yang membawa keromosom X dan Y. Sedangkan telur/benih isteri hanya membawa keromosm X. Bergantung mana yang bercantum  XY (anak lelaki)  XX (anak perempuan).


Ciri-ciri benih lelaki berbeda benih Y lebih cergas dan laju begerak tetapi lebih cepat mati berbanding dengan benih X yang lambat bergerak tetapi hidup lebih lama. Benih Y lebih tahan dalam cecair yang beralkali , sedangkan benih X lebih tahan dalam cecair asid.

Untuk mencuba anak lelaki, ikuti garis panduan berikut:

1. Persetubuhan pada waktu subur iaitu pada hari penetasan telur isteri ( ovulation) adalah penting. Untuk mengetahui tentang kaedah-kaedah mengesan waktu penetasan telor, sila rujuk laman Kesuburan dan Kemandulan.

2. Makanan yang asid seperti buah-buahan limau, nanas, mangga, cuka, minuman gas perlu dijauhkan selama 2 bulan sebelum mencuba. Makanan laut adalah digalakkan, zat-zat logam kalsium dan magnesium juga diperlukan.


3. Menukarkan cecairan faraj kepada beralkali dengan melakukan douching atau basuh dalam faraj dengan satu alat khas. 20 ml. Air bikarbonet dimasukkan kedalam faraj lebih kurang 2 jam sebelum mengadakan persetubuhan. Cecair bikarbonet (sodium bicarbonate ) boleh dibeli dari farmasi.

4. Kaedah suntikan benih lelaki ( artificial insemination) setelah air mani suami menjalani proses layering, atau menjalani rawatan bayi tabung uji (IVF) dan dipilih embryo yang telah disahkan lelaki untuk dimasukkan kedalam rahim. Kedua-dua kaedah tersebut tidak dibolehkan jika hanya untuk tujuan mendapatkan anak lelaki. Tetapi diperbolehkan jika sabit ada penyakit baka bila melahirkan anak perempuan.

5.Ada juga yang merancang mengikut kalendar cina...apa2pun ketentuan Allah....kita hanya mampu merancang..... saya pun belum ada rezeki menimang baby boy....
sudah mula cuti...ada tuisyen...tapi mau holiday dulu dgn ank2...hubby busy ngan asingmnt...aku pun sama...so...selamat bercuti...semoga semua sentiasa dilindungi Allah....aminnnn.......

koleksi pantun...suka bila baca pantun ni...indah...marilah kita menikmati keindahan bahasanya....


KOLEKSI PANTUN MELAYU....



































PANTUN PEMBUKA ACARA

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

PANTUN BACAAN DOA

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi;
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

PANTUN JEMPUT MAKAN

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN

Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

PANTUN DI AKHIR MAJLIS

Banyak keluk ke penarik,

Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Bunga dedap di atas para,

Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Pohon berangan tempat bertemu,

Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,

Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,

Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Rokan ke Indragiri,

Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

Dari Kedah ke pekan sari,

Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

PANTUN BUAT WARGA EMAS


Bulan purnama ke pekan Kuah,

Di tengah hari membeli ragi;
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.

Curah serbat di atas lantai,

Basah tikar lupa disidai;
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.

Pohon sena tepi perigi,

Tepi paya si pohon jambu;
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

Anak dara ke Tanjung Batu,

Janji bertemu di Teluk Bayu;
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.

Bukan gua sebarang gua,

Gua penuh pusaka bonda;
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.

Pergi ke Nilai membeli jamu,

Jamu rasa dari tenggara;
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.

Tidak goyah pancang seribu,

Tika masih badai menderu;
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.

Pohon beringin tepi keramat,

Dengar siulan diufuk barat;
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.

Beli keladi di Pekan Lidup,

Sayang rasa lemaknya kurang;
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

Pintal kapas menjadi benang,

Tenun benang menjadi sari;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.

Pohon senduduk baru di tanam,

Sayang mati di pijak pak tani;
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.

Apa guna siparang panjang,

Kalau tidak dengan tujuan;
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

Timba suasa ditepi kali,

Buat menyimbah si tuan puteri;
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.

Betik muda buat halwa,

Kelapa muda santan dirasa;
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa.

sastera dan wawasan



1.0 PENDAHULUAN
            Malaysia kini sedang memasuki fasa 15 tahun yang kedua ke arah mencapai Wawasan 2020.  Salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangun satu sistem pendidikan bertaraf dunia.  Justeru, Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, modal insan yang progresif, modal insan yang bermoral dan modal insan yang beretika tinggi selain daripada melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.

Atas alasan inilah, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah disempurnakan pelancarannya oleh mantan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, pada 16 Januari 2007 bersamaan 26 Zulhijjah 1427 Hijrah, di PICC, Putrajaya.

Misi nasional ini telah memberi penekanan tinggi ke atas pembangunan modal insan ‘Minda Kelas Pertama’ sebagai pendekatan utama bagi melonjak ke status negara maju.

Untuk itu, kertas kerja ini akan mengkaji dan membincangkan gambaran modal insan yang terdapat dalam karya-karya sastera serta ciri-ciri modal insan cetusan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi . Kertas kerja ini akan membuktikan sama ada gambaran modal insan ada digarap dalam karya-karya sastera atau sebaliknya. Dalam hal ini pengkaji memberi penekanan kepada insan-insan yang mempunyai keperibadian unggul dan insan yang mempunyai ilmu, kemahiran serta yang boleh dijadikan “role model” dalam masyarakat, dapat membangunkan masyarakat dan negara. Jika diteliti dari segi fungsi sastera, iaitu  bertujuan untuk mendidik pembaca dengan memberi pengetahuan dan pengalaman serta dapat menghidupkan semangat inspirasi moral pembaca maka sudah tentulah ciri-ciri modal insan ada digambarkan dalam karya-karya sastera. Selain itu, karya sastera juga merupakan satu dokumen sosial yang merakamkan dengan cukup setia ciri-ciri zaman, memelihara penggambaran tentang tingkah laku manusia sama ada baik atau jahat.
Menurut Aristotle, karya sastera boleh mengajak manusia ke arah kebaikan. Untuk itu, watak tidak harus terhukum dengan kejahatan sebaliknya harus dibimbing kembali ke pangkal jalan. Selain itu juga, sastera adalah merupakan manifestasi kehidupan manusia. Menurut Rene Wellek dan Austin Warren (1973 : 94), sastera dapat memperlihatkan word-view sesebuah masyarakat. Untuk itu, sastera dapat mewakili kehidupan manusia dan memberi pengajaran dan memperlihatkan kepada pembaca ciri-ciri manusia yang baik atau sebaliknya sebagai satu pengajaran.




            Bagi membuktikan kebenaran itu, maka dalam kertas kerja ini pengkaji akan cuba membincangkan, mengkaji dan membuktikan gambaran modal insan yang terdapat dalam karya-karya sastera. Oleh yang demikian, pengkaji akan membataskan kajian ini dengan mengkaji karya-karya  dalam prosa moden dan  puisi klasik sahaja sebagai bahan kajian. Bagi prosa moden pengkaji akan memilih tiga buah cerpen sebagai bahan kajian iaitu cerpen ‘Sebutir Pasir di kaki’ tulisan Norhisham Mustafa yang dikeluarkan dalam Antologi KERUSI Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah, cerpen ‘Di Sisi Rinda’ oleh A. Samad Said yang dikeluarkan dalam Antologi KERUSI Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah dan cerpen ‘Aku, Kris dan Kristal’ tulisan Dima Mazlina yang dikeluarkan dalam Antologi KERUSI Teks Kesusasteraan Melayu sekolah Menengah. Manakala bagi genre puisi klasik pula pengkaji akan memilih pantun, sajak dan syair dari buku Antologi Cerpen dan puisi Suara Yang Luka yang diselenggarakan oleh Dr.Hj.Naapie Mat, Edisi 1998, Antologi Anak Bumi Tercinta Dewan Bahasa dan Pustaka 2001  dan Antologi KERUSI Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah sebagai bahan kajian. Pengkaji akan membincang dan menghuraikan gambaran modal insan yang terdapat dalam cerpen,  pantun dan sajak ini sebagai bukti bahawa gambaran modal insan sememangnya telah sedia wujud dalam penghasilan karya-karya sastera bertepatan dengan fungsi sastera itu sendiri sebagai alat untuk memberi pengajaran dan pengalaman kepada manusia.

1.2 Difinisi Kesusasteraan
            Kesusasteraan dapat ditakrifkan sebagai hasil seni yang disampaikan melalui bahasa.  Dari segi harfiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud “kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya”.  Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan bermaksud segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.
Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan.  Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita.  Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera.  Kita juga akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya merupakan kesusasteraan.
1.3      Kesusasteraan Melayu dan kaitannya dengan Modal Insan

             Bagi sesetengah orang, kesusasteraan itu tidak penting, tidak membawa erti apa-apa. Itulah makanya di kalangan masyarakat umum di Malaysia, kesusasteraan itu tidak dilihat betapa besar kaitannya dengan nilai politik dan kepemimpinan, akal budi, patriotisme, jati diri, budi bahasa, cinta negara, kasih sayang, pedoman kehidupan, kesedaran, keinsafan, pemikiran. Alangkah luasnya nukilan ilmu dan nilai-nilai hidup dalam karya para sasterawan dan penulis bangsa.
Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, memang semakin nyata bahawa rakyat Malaysia juga memerlukan suatu transformasi sosio-budaya dan pemahaman terhadap kesusasteraan dengan mendalam. Dalam sastera, nilai-nilai tidak bergerak berasingan, tetapi amat rapat dengan tradisi ilmu, semangat dan roh kekuatan bangsa. Jika dikatakan kesusasteraan itu bahagian daripada falsafah dan pemikiran, maka kita boleh sahaja merujuknya kepada genre sastera hikayat, roman sejarah, dan melalui teks-teks karya agung serta karya-karya semasa para sasterawan.


Di dalamnya termuat segala aspek tentang pembinaan modal insan cemerlang. Nilai politik atau ikrar taat setia seperti ungkapan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ tidak akan difahami generasi baru jika mereka tidak mempelajari sastera. Mereka tidak tahu bezakan keadilan dengan kezaliman, fungsi raja dan peranan rakyat, sekiranya tidak ditatap dua teks genius Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.
Dalam bahasa dan sastera itu, kita boleh mengenali peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, syair, gurindam, pantun, seloka, pepatah, petitih dan sebagainya. Hasil-hasil sastera pula ada yang berbentuk karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan yang bukan kreatif seperti penulisan dan kajian. Cuba lihat aspek nilai dan norma; adat resam, nilai-nilai positif yang patut menjadi amalan masyarakat. Kesusasteraan merakamkan macam-macam perlakuan budaya dalam bentuk tulisan dan lisan.
Jadi cemerlangkah bangsa kita, jika kita buta budaya dan tidak celik sastera? Sifat negara maju bukan begitu. Manusia cemerlang adalah manusia yang tahu erti ‘kesatuan’ dan lambang-lambang ‘perpaduan’ dan ‘kekuatan’. Misalnya ada protokol Melayu tentang pemimpin yakni peranan ketua mengatur gerak kerja dan ketua itu dihormati. Ungkapan seperti ‘Yang didahulukan selangkah/ Yang ditinggikan seranting/ Yang dilebihkan serambut/ Yang dimuliakan sekuku... dan ribuan lagi ungkapan Melayu. Nilai-nilai jati diri, patriotisme, dan akal budi boleh sahaja dirujuk. Pantun, syair, gurindam, peribahasa dari segi isi dan mesejnya membawa nilai budi, pengajaran dan nasihat. Apakah masyarakat kita masih ingat akan ‘Duduk berbual diremang senja/Angin taufan bertiup kencang/Kalau kapal dua nakhoda/Alamat karam dipukul gelombang/. Ada ribuan pantun dan peribahasa yang boleh kita buat pedoman tentang perpaduan, nilai kepemimpinan, cinta negara, kekeluargaan, perjuangan, kepahlawanan dan sebagainya.
Di Malaysia, kadang kala pengalaman menunjukkan bahawa kita begitu mudah terperangkap atau terheret dengan masalah kulit bukan isinya. Kenapakah nilai-nilai budi bahasa dan nilai murni bangsa kita kian terhakis? Seorang anak Melayu yang kukuh modal insannya akan menjadi seorang budiman, beragama, berbudaya dan berakhlak mulia. Mereka akan menolak hedonisme, vandalisme dan jahiliyah. Selain agama, maka sastera mengajar nilai hormat menghormati, bersyukur, berkeperibadian luhur dan seumpamanya. Dalam pantun disebut ‘Burung serindit terbang melayang/Mari hinggap diranting mati/Bukan ringgit dipandang orang/Pandangan atas budi pekerti/. Tetapi berbudi juga ada hadnya. Kita diingatkan agar ‘Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali’. Jangan sampai ‘kera di hutan disusui, anak dipangkuan dilepaskan’.
Bangsa Melayu dan bumiputera sepatutnya dengan penuh keyakinan melangkah memajukan diri. Lihat bagaimana nilai ketekunan, kebijaksanaan, ketabahan, rendah diri, persaingan, berbudi, berbakti, kesabaran dan sebagainya yang digambarkan melalui teks-teks sastera tadi. Ilmu kepribumian sudah sepatutnya diajar di institusi pengajian sebagai pengetahuan dan bandingan, termasuk teknologi pribumi. Cuba ceduk nilai-nilai positifnya. Faktor nilai dan norma sangat penting dalam situasi sekarang. Modal insan boleh dibina dengan mengambil iktibar daripada sastera. Bukankah nilai-nilai itu maknanya darjat, kualiti, taraf dan sifat ketinggian pemikiran, agama dan kemasyarakatan?. Dalam sastera, masyarakat akan tahu nilai berkasih sayang, bekerjasama, bergotong royong, muafakat, semangat perjuangan dan membina pasukan. Banyak yang kita boleh rujuk.
Apakah sia-sia sahaja peribahasa seperti ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum pula’, ‘pisang sesikat sayur sebelanga, tanda mufakat makan bersama’, ‘gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni’, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ atau ‘Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih?’ Jika bangsa Malaysia merujuk atau diajarkan teks sastera, maka keagungan nilai-nilai pendidikan warisan bangsa itu akan dirasai. Nilai kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan adalah nilai-nilai universal. Malahan ada puluhan nilai-nilai positif yang lain. Pedoman kehidupan, misalnya ‘Menunduk kepala kepada raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap lawan,’ menggambarkan kita ada peraturan dan keteraturan tersendiri. Cuba kenal siapa kawan dan siapa lawan! 
Untuk ekonomi, tatapi ‘sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit,’ ‘alah membeli menang memakai,’ ‘masa itu emas, masa itu wang;’ untuk amanah ‘Kata hendaklah dikota,’ ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Kenapakah semuanya hilang dari kehidupan, jika tidak bangsa kita sendiri yang memupuskan kehebatannya? Kesusasteraan memiliki kedudukan yang istimewa bagi bangsanya kerana ada banyak panduan cara hidup berbangsa dan bernegara. Yang perlu kita bina ialah nilai-nilai persamaan bukannya perbezaan, nilai kebaikan bukan kejahatan, kemanusiaan bukan kehaiwanan, kenegaraan dan perpaduan. Cari jalan bagaimana kesejahteraan sosial dan kehidupan kebudayaan tinggi dapat didukung bersama. Buta budaya dan tidak celik sastera akan hanya mengakibatkan peradaban bangsa menjadi tanpa arah dan bertambah parah. Sayang seribu kali sayang, bangsa sendiri tidak penyayang bahasa dan sastera.
. 2.0    KUPASAN ISI DAN PERBINCANGAN
                        Modal insan yang perlu dibina oleh negara adalah insan yang lengkap dari segi ilmu, kemahiran dan keperibadian yang unggul. Antara ciri-ciri modal insan dalam revolusi idea cetusan Tun Abdullah Ahmad Badawi  ialah melahirkan individu-individu yang mempunyai nilai-nilai murni, berilmu pengetahuan, berkeyakinan, dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti mulia, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing.Untuk itu pengkaji akan membuktikannya melalui pengkajian dalam cerpen-cerpen dan pantun yang telah dipilih.
2.1         Keperibadian Yang Unggul
            Ciri-ciri keperibadian yang unggul dalam modal insan adalah meliputi beberapa aspek seperti berikut;
2.1.1   Penerapan nilai-nilai murni dan moral
             .Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.
            Berdasarkan daripada tiga cerpen yang dikaji, pengkaji dapat mengeluarkan beberapa contoh ciri modal  insan dari aspek nilai-nilai murni dan moral. Dalam cerpen ‘Sebutir Pasir Di Kaki” karya Norhisham Mustafa, penulis telah menggarap watak dan perwatakan dengan nilai-nilai murni dan keperibadian yang tinggi pada watak Fuad, Datuk Sukar, Junainah dan Datin Sipah. Watak-watak  ini digambarkan dibesarkan dalam situasi keluarga yang saling menghormati, berkasih sayang, ikhlas, berani dan bijaksana. Ini jelas menunjukkan bahawa penulis memaparkan gambaran modal insan yang berkeperibadian unggul. Hasilnya pembaca akan dapat mencedok nilai dan pengajaran seperti berani mempertahankan hak masing-masing serta berunding secara baik jika ingin menyelesaikan sesuatu perkara.  Perkara ini akan berupaya mewujudkan suasana harmoni di kalangan masyarakat. Nilai yang diterapkan boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat pertimbangan yang baik dalam menghadapi menyelesaikan sesuatu masalah.
                          ”Saya bukannya nak cari gaduh mak,” balas Fuad sambil memandang resah ke dalam kegelapan di luar rumah.  ”Tapi saya juga tak suka orang buat sesuka hati pada kita.  Kita bukan tunggul mak.”
                                               Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham            Mustafa)       

            Begitu juga dalam cerpen kedua iaitu cerpen ’Aku, Kris dan Kristal’ karya Dima Mazlina, penulis telah memaparkan watak Hana yang mempunyai kekentalan prinsip hidup dan kekukuhan iman seorang anak muda ketika merantau untuk menuntut ilmu.  Penulis juga menggarap watak-watak lain dengan nilai murni seperti kasih sayang, peramah, rajin, berani dan hormat-menghormati.  Nilai yang tersurat jelas dihampar kepada kita tentang menjaga adap sopan, rajin belajar serta pentingnya mendengar nasihat ibu bapa.
                        ”Mummy miss you!” mendatar nada Kris.
                        ”send my regards,”
                        Kris mengangguk. 
Aku, Kris dan Kristal (Dima Mazlina)
            Dalam cerpen ‘Di Sisi Rinda’ pengkaji juga dapat perlihatkan watak yang mempunyai nilai-nilai murni dan keperibadian yang tinggi. Watak yang digambarkan ialah watak Jumari Jipan. Jumari Jipan diserlahkan dengan watak yang sungguh bertimbang rasa, ikhsan yang tinggi, kasih sayang, seorang yang cekal dan tabah, bijaksana dan berani.  Jumari Jipan juga mempunyai semangat setiakawan yang tinggi walaupun hubungan persahabatannya selalu diuji.  Contohnya Jumari Jipan masih bersahabat baik denan Ripin walaupun Ripin mengahwini Fisah, wanita idamannya.
                        Mereka memang sama-sama sekolah, sama-sama seiring remaja, sama-sama sehari bersunat, sama-sama beransur dewasa, sama-sama seketika mengikut rombongan sarkas Filipina mengelilingi negeri, sebelum masing-masing mencari pekerjaan lain dan sama-sama juga beransur tua.           
Di Sisi Rinda(A. Samad Said)


            Melalui watak-watak yang diperlihatkan di atas tadi membuktikan bahawa penulis telah memasukkan  gambaran watak yang mempunyai ketinggian nilai-nilai murni yang tinggi.
            Gambaran modal insan yang mempunyai nilai-nilai murni dan peribadi yang unggul juga ada digarapkan dalam sajak dan pantun yang dikaji iaitu Puisi Tradisional Antologi Kerusi Teks Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah dan Antologi Cerpen dan Puisi Suara Yang Luka  penyelenggara Naapie Mat.  Dalam  pantun dan Sajak yang di kaji ini banyak memperlihatkan tentang pentingnya berhati bersih, budi pekerti yang unggul, Amanah, luhur, kasih sayang, bijaksana, tabah dan kebaikan-kebaikan yang diperolehi jika manusia itu Taat kepada Allah. Contohnya seperti pantun dan sajak  berikut;
                                   Bagus rupanya bunga melur,
                                               Putih rupanya bunga pinang,
                                                           Berukir bertangkai perak,
                                                                       Permainan raja perempuan;
                                   Cawan, cerek sudah teratur,
                                               Pinggan, mangkuk sudah terhidang,
                                                           Penganan mulia sudah terletak,
                                                                       Samalah duduk kita makan.
                                  
                                                                                  (Antologi Kerusi , hlm. 4)

                                   Ibu
                                    Kau mengajarku erti kehidupan
                                   Kau mendidikku erti persahabatan
                                   Kau memaparkan kesabaran dan ketekunan
                                   Kau mengukir peradaban insaniah
                                   Kau menanamkan bibit-bibit keimanan
                                   Tanpa rasa ragu, kesal dan resah
                                   Malah kau sering melemparkan senyuman mesra
                                   Pengubat segala kekalutan batiniah
                       
                                                                                  (Suara Yang Luka, hlm. 16)

                                  
            Daripada dua puisi di atas jelas menunjukkan  bahawa sejak dari dahulu lagi kita amat mementingkan nilai dan budi. Pada rangkap pantun jelas membuktikan bahawa pencipta pantun ini ingin  menasihati pendengar agar memiliki nilai dan budi yang unggul.  Kita mestilah berbudi bahasa dan bersopan santun serta betatatertib terutama ketika menikmati hidangan. 
Sajak yang dipetik juga ada memperlihatkan unsur-unsur nilai yang tinggi
 seperti seorang ibu itu mestila mengajar anaknya tentang kehidupan, persahabatan, kesabaran dan ketekunan, mengajar anak-anak erti keimanan agar dapat melangsungkan hidup manjadi manusia yang berlandaskan jalan yang betul serta menjadi manusia yang berguna apabila dewasa kelak dan hidup bahagia. Ini amat bertepatan dengan saranan kerajaan untuk melahirkan  modal insan yang berperibadi unggul

2.1.2   Pengabdian diri kepada Allah
            Setiap insan yang beragama Islam wajib mengabdi dan menghambakan diri kepada Allah SWT kerana mereka dicipta adalah semata-mata untuk beribadah kepadaNya. Mengabdi bererti menyerah dan menerima segala ketentuan dan segala keputusan Allah SWT. Ia juga dapat diertikan sebagai tunduk dan patuh kepada semua perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
            Amalan solat misalnya adalah salah satu amalan wajib yang perlu ditunaikan oleh setiap orang Islam. Solat dianggap sebagai tiang agama dan meninggalkan solat bererti meruntuhkan agamanya. Melalui ibadah solat juga umat Islam mampu menghindarkan diri dari melakukan maksiat dan kejahatan. Ini bermakna insan yang terbina adalah insan yang berkualiti dan punya keperibadian yang unggul.
            Berdasarkan cerpen ’Aku, Kris dan Kristal’, pengkaji dapat membuktikan contoh modal insan yang mengabdikan diri kepada Allah seperti yang ditunjukkan daripada petikan cerpen berikut;
                        ”Aku jadi pasrah dan setiap kali aku menghadap tikar sembahyang, aku tidak putus-putus memohon keampunan”.
                                                                                   Aku, Kris dan Karistal (Dima Mazlina)

            Didikan yang sempurna akan melahirkan iman yang teguh dan seterusnya dapat mengawal perlakuan seseorang.. Dalam kesibukan manusia mengejar duniawi, pengabdian diri kepada Allah khasnya solat tidak diabaikan.
            Pengabdian diri kepada Allah dengan sebenar-benarnya dapat menghindarkan diri dari melakukan maksiat. Dalam cerpen ‘Aku, Kris dan Kristal’, watak Hana memperlihatkan keteguhan imannya ketika kawan-kawannya ke disko atau ke parti.
‘’Aku tidak mungkin akan mengikut mereka ke disko atau ke parti yang mereka anjurkan.  Aku anak timur yang dibesarkan berlandaskan ciri-ciri etika ketimuran yang murni dan unggul.  Aku hidup berpegang kepada ajaran agama yang luhur.”
Aku, Kris dan Kristal (Dima Mazlina)

            Dalam sajak pula ciri-ciri modal insan yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah juga banyak dipaparkan. Nasihat-nasihat kepada manusia agar sentiasa berbuat baik, meninggalkan maksiat, dan sebagainya banyak ditonjolkan. Antaranya:
DUHAI PENTAFSIR
Pentafsir, sebenarnya telah lama ku cari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
di manakah telah kurakamkan
pertemuan matahari, rimba dan lautan?
Pentafsir, musim telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar jadi semakin kuning
apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi.
Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini
melihat keluar. Lalu mengenal
rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku.
( Antologi Kerusi, hlm 20)
                        
             Penyajak mencari pentafsir atau pembimbing yang dapat memimpinnya ke jalan kebenaran. Dalam usia tua, penyajak menyedari segala kesilapannya, tetapi dia belum menemui petunjuk atau hidayah. Oleh sebab itu, kehidupannya penuh dengan keresahan. Dia melakukan kesilapan kerana tidak mendapat pendidikan agama yang cukup sejak kecil. Penyajak sedar akan keadaan dirinya yang semakin tua dan kekuatan fizikalnya yang semakin berkurang.Keadaan itu menyukarkannya untuk mendalami ilmu agama. Selama ini penyajak terpengaruh oleh pelbagai gejala negatif tetapi kini dia telah sedar dan ingin mendampingi Tuhan.

. Mengasihi dan menghormati ibu bapa
             Ibu bapa adalah dua orang insan yang menjadi tapak permulaan kehidupan seseorang. Mengasihi dan menghormati ibu bapa akan membawa kepada keharmonian keluarga yang menjadi sebahagian kelompok masyarakat. Apabila setiap orang menghormati serta mengasihi ibu bapa, dengan sendirinya mereka akan mendapat rahmat daripada Allah SWT.
             Dalam cerpen ’Aku, Kris dan Kristal’, watak Hana adalah satu contoh anak yang mengasihi dan menghormati ibu bapanya. Dia senantiasa mendengar nasihat ibu bapanya Walaupun dia telah berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti College Cardiff.
Air mata mak sering kujadikan peringatan.  Amanat abah tetap kuselit baik-baik”.
                       Aku Kris dan Kristal (Dima Mazlina)

            Kasih dan hormat Hana kepada ayah dan ibunya yang telah memberikannya kehidupan dan membesarkannya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara amat jelas tergambar dalam cerpen ini. Hana berusaha menjaga nama baik keluarga dan tidak terpengaruh oleh kehidupan barat.  Dalam soal jodoh juga Hana tidak membantah pilihan orang tuanya.
“...aku katakan pada emak dan abah tentang perkara berkenaan, aku serahkan sepenuhnya pada pertimbangan mak dan abah”.
                                               Aku Kris dan Kristal (Dima Mazlina)

            Melalui cerpen ‘Sebutir Pasir Di Kaki’ kita dapat lihat watak Fuad yang digarap wataknya sebagai seorang yang tegas dan keras hati namun masih menghormati ibunya. 
                        “Maafkan saya mak.” Fuad bingkas lalu mencapai tangan mak.  “Saya bukan marahkan mak.  Saya Cuma tak dapat terima apa yang berlaku ini...”
                                                           Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham Mustafa)
            Dalam sajak juga ciri modal insan yang menghormati dan mengasihi ibu bapa juga banyak dipaparkan Antaranya ;
                                                IBU YANG KUSAYANG
                                                               Ibu yang kusayang
                                               Aku sanjung, aku bangga
                                               Menjadi anak lahirmu
                                               Aku punya ibu
                                               Yang tiada tandingan.

                                               Ibuku sayang
                                               Sengsara dan dukamu
                                               Pengorbananmu
                                               Demi anak-anakmu
                                               Hanya tuhan yang tahu
                                               Susah senang hidupmu.
                                                              
                                              
                                                                               (Kumpulan Pantun Melayu, hlm. 154)

Sesungguhnya watak-watak yang dinyatakan dalam cerpen di atas dan dalam contoh dua rangkap sajak jelas menunjukkan ciri-ciri modal insan yang menghormati dan mengasihi kedua ibu bapa. Masyarakat yang ada ciri-ciri ini secara tidak langsung akan mengamalkan nilai-nilai positif dalam masyarakat dan menjadi modal insan yang terbina dengan etika dan nilai moral yang tinggi.

2.2.3   Membantu orang lain / Masyarakat
            Setiap orang dilahirkan dengan nasib yang berbeza, Justeru itu bagi orang yang diberikan lebih nikmat dan kesenangan hendaklah menunjukkan rasa syukur dengan berusaha membantu orang-orang yang kurang bernasib baik. Insan yang sedemikian ada digambarkan dalam cerpen ‘Sebutir Pasir Di Kaki’ di mana Datuk Sukar mengambil Fuad yang berkelulusan SPM dengan pangkat tiga untuk bekerja di syarikatnya.  Datuk Sukar ikhlas membantu Fuad dengan cara mengambil pemuda itu sebagai pekerjanya.
           ‘’Aku ambil kau bekerja dengan aku, aku berikan kau segala keistimewaan yang orang lain tak pernah dapat...”
                                               Sebutir Pasir Di Kaki(Norhisham Mustafa)

            Terdapat juga dalam cerpen ‘Di Sisi Rinda’ di mana Jumari Jipan  mengambil tanggungjawab menjaga Deliah selepas seluruh keluarga kanak-kanak itu mati di tangan Jepun. Hanya Jumari Jipan sahaja yang ada untuk membantu dan menjaga Deliah.
‘’Kini selain Rinda, nampaknya dirinya saja menjadi teman atau penjaga Deliah.”
                       Di Sisi Rinda (A. Samad Said)

            Sesungguhnya sikap suka membantu orang lain juga banyak dipaparkan di dalam pantun Melayu. Jenis-jenis pantun seperti pantun budi dan pantun nasihat  banyak memaparkan tentang perbuatan baik membantu orang lain dan kesannya kepada masyarakat. Contohnya;

                                                           PANTUN BUDI 
  Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung. 
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi. 
Bunga cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang;
Adat dunia memang begitu,
Sebab dunia budi terbuang. 
Anak beruk di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.
 
Antologi Anak Bumi Tercinta, DBP, 2001

Daripada empat rangkap pantun di atas, menunjukkan bahawa perbuatan bantu-membantu itu adalah sangat dititikberatkan dalam masyarakat Melayu. Walaupun seseorang itu telah mati namun budi yang diberi kepada orang lain tetap akan diingat sampai bila-bila. Begitu juga budi yang diberi takkan mungkin dapat dibayar dengan harta dan wang ringgit.  Seseorang itu akan dipandang hina jika tidak pernah berbudi sesama insan.
Jelaslah di sini bahawa sikap suka membantu orang lain sebenarnya luas pengertiannya. Membantu sesama bangsa atau berlainan bangsa adalah amat dituntut untuk mewujudkan negara bangsa yang harmonis dan dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Inilah salah satu ciri keperibadian unggul seperti mana yang terdapat dalam modal insan yang diharapkan.


3.1      Ilmu dan Kemahiran
            Selain dari ciri-ciri modal insan yang keperibadian unggul, ciri-ciri modal insan yang mempunyai ketinggian ilmu dan kemahiran yang boleh membangunkan masyarakat dan ekonominya juga tidak boleh diketepikan.  Antaranya adalah seperti yang berikut:
3.1.1   Penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
            Untuk mencapai sebuah negara bangsa yang maju, penekanan aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran di kalangan masyarakat adalah sangat penting. Penguasaan ilmu dan kemahiran di kalangan masyarakat dalam pelbagai bidang akan membentuk anjakan paradigma ke arah masyarakat yang cemerlang. Hanya masyarakat yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang ilmu terutama bidang sains dan teknologi sahajalah maka hasrat negara untuk melahirkan generasi masyarakat yang terbilang dan menjadi aset insani negara yang paling penting akan terlaksana.
            Berdasarkan daripada cerpen yang dikaji, pengkaji dapat mengeluarkan beberapa contoh ciri modal  insan dari aspek penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Dalam cerpen ‘‘Aku Kris dan Kristal” karya Dima Mazlina, penulis telah menampilkan watak-watak yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Watak-watak  ini digambarkan dibesarkan dalam situasi keluarga yang serba daif tetapi mereka mampu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri iaitu di Universiti College Cardiff  walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga. Ini jelas menunjukkan bahawa penulis memaparkan gambaran modal insan yang cekal dan tabah serta menitikberatkan pendidikan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada anak-anak mereka. Hasilnya anak-anaknya telah berupaya menjadi insan yang berjaya dalam hidupnya disebabkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehinya.

                        ..Hampir tiga tahun aku berada di sini.  Jauh dari tanah air dan keluarga tercinta.  Selama tiga tahun ini, aku tidak pernah pasti apakah perasaan aku.  Kadang-kadang aku merasa begitu gembira kerana dapat mengaut ilmu di rantau orang.  Kadang-kadang pula sepi sering menggamit rindu lantaran berjauhan dari yang tersayang..
                                                                          Aku, Kris dan Kristal (Dima Mazlina)

            Begitu juga dalam cerpen kedua iaitu cerpen ’sebutir Pasir Di Kaki’ karya Norhisham Mustafa, penulis telah memaparkan watak Junainah yang mempunyai taraf pendidikan yang tinggi dan bertugas sebagai guru.  Walaupun Junainah digambarkan sebagai seorang anak orang kaya yang berpangkat datuk namun dia tetap mahukan kerjayanya sendiri.
                        ”Setidak-tidaknya kau ialah seorang guru tetap, lepasan maktab”
                                                                       Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham Mustafa)

Dalam cerpen Di Sisi Rinda, karya A. Samad Said juga dapat dilihat watak yang mementingkan pendidikan.  Walaupun latar masyarakatnya dan masanya pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan terdiri daripada orang-orang melayu yang tinggal di kawasan perkampungan di tepi laut.
                        Mereka memang sama-sama sekolah...
.                                                                                  Di Sisi Rinda (A. Samad Said)

            Melalui watak-watak yang diperlihatkan di atas tadi membuktikan bahawa penulis telah memasukkan  gambaran watak yang mempunyai ketinggian ilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam karya-karya mereka. Penulis cuba menggambarkan kepada pembaca tentang pentingnya menuntut ilmu pengetahuan dan mencari kemahiran dalam bidang tertentu hingga ke peringkat yang tertinggi. Ketinggian ilmu pengetahuan dan kemahiran inilah sebenarnya salah satu aspek penting yang ingin diwujudkan dalam konsep modal insan yang diharapkan oleh kerajaan. Bertitik tolak dari ketinggian ilmu pengetahuan dan kemahiran ini jugalah diharapkan insan-insan tersebut dapat menyumbangkan khidmat dan kepakaran mereka kepada masyarakat dan negara dengan lebih berkesan.
            Gambaran modal insan yang berilmu pengetahuan juga ada digarapkan dalam syair yang dikaji. Dalam syair yang dikaji ini banyak memperlihatkan tentang pentingnya menuntut ilmu dan kebaikan-kebaikan yang diperolehi jika manusia itu mempunyai ilmu. Contohnya seperti syair berikut:
                                                           SYAIR KELEBIHAN ILMU
                                                                              Ilmu itulah gemala sakti,
                                                           Sinarnya cerah cahaya sejati,
                                                           Asal puncanya lamun didapati,
                                                           Sukar bercerai sehingga mati.

                                                                           Harganya tidak dapat dinilaikan,
                                                           Sebuah dunia belinya bukan,
                                                           Kuasanya besar sukat digunakan,
                                                           Di laut di darat di rimba di pekan.
                                                                             
                                                                              Ia penerang jalan ke syurga,
                                                           Ia pemuas tekak yang dahaga,
                                                           Ialah sungai ialah telaga,
                                                           Laut yang luas ialah juga.

                                                                                  (Antologi Kerusi, hlm.7)
                                                                      
Daripada tiga rangkap syair di atas jelas menunjukkan  bahawa orang Melayu sejak dari dahulu lagi memang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Pada rangkap syair pertama jelas membuktikan bahawa pencipta syair ini ingin  menasihati pendengar tentang kepentingan ilmu.  Ilmu itu sangat berguna kerana dapat menerangi hidup atau dijadikan panduan hidup.  Ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepanjang hayat. Pada rangkap syair kedua pula memberi maksud ketinggian nilai ilmu tidak terhingga, tidak dapat ditukar ganti walaupun dengan sebuah dunia.  Faedah daripadanya tidak terhad dan dapat digunakan di mana-mana sahaja.  Pada rangkap ketiga pula menceritakan tentang orang yang berilmu memperolehi ganjaran pahala.  Dengan ilmu, seseorang itu berupaya mencapai cita-citanya.  Ilmu itu luas sekali bidangnya. Ini jelas memperlihatkan bahawa dalam syair juga ada digambarkan tentang pentingnya menjadi manusia yang berilmu agar menjadi manusia yang berguna apabila dewasa kelak dan hidup bahagia. Ini amat bertepatan dengan saranan kerajaan untuk melahirkan  modal insan yang berilmu pengetahuan.

2.         Profesyen dan khidmat
            Seperti yang telah dijelaskan tadi. Melalui ketinggian ilmu seseorang itu boleh berada pada profesyen yang amat penting yang mampu menaikkan taraf hidup diri, keluarga dan bangsanya. Sebagai contoh dalam cerpen ’Aku, Kris dan Kristal’, watak Wan Hadi lulusan Universiti Sains Malaysia menjadi cikgu yang mengajar Pengajian Am dan mampu berkhidmat kepada masyarakat, bangsa dan negaranya.
                        ”Akhirnya timbul cerita tentang Wan Hadi, guru lepasan universiti yang datang dengan hajat menggunung”.

                                                                                  Aku, Kris dan Kristal(Dima Mazlina)

            Begitu juga dalam cerpen ‘Sebutir Pasir Di Kaki’, sungguhpun tidak dinyatakan apa kelulusan Datuk Sukar, namun melalui kedudukannya yang kaya raya dan seorang usahawan yang berjaya menggambarkan bahawa beliau mampu untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negaranya dengan lebih baik dan berkesan lagi tambahan pula beliau seorang berwawasan dalam perniagaan. Buktinya, Datuk Sukar bekerjasama dengan pelabur dari Hong kong untuk membina kilang tekstil.
              ”Sebuah Syarikat besar dari Hong Kong yang mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, bersetuju membuka dan membina sebuah kilang tekstil di bandar kita inir.”
                                                           Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham Mustafa)

            Sesungguhnya pembangunan  modal insan dari aspek ilmu dan kemahiran bukan sahaja mampu meningkatkan pertumbuhan masyarakat malah mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi masyarakat dan negara.
            Dalam sajak pula pemaparan aspek profesyen dan khidmat ini juga ada digambarkan. Tetapi pemaparan hanyalah sekadar mengingatkan masyarakat agar menggunakan ilmu yang diperolehi untuk kebaikan orang lain dan mengembangkan profesion yang dipilih untuk anak bangsa dan agama.  Seperti contoh sajak berikutt;
                                   JANJI SEORANG AKU
                                               Di daerah nan sepi
                                   Lahir seorang aku
                                   Dibelai dididik ayah dan ibu

                                               Daerah nan tercinta
                                   Pergi seorang aku
                                    Menimba menyelam demi selaut ilmu

                                              
Daerahku...desaku
                                   Aku akan pulang padamu
                                   Bersama semangat dan citaku
                                   Mengasuh mendidik anak bangsamu

                                               Wahai desaku nan permai
                                   Aku mohon restumu
                                   Membina paradigma baru
                                   Mengatur langkah tiada undur
                                   Demi anak-anak yang masih kabur
                                   Dari semangat yang belum luntur

                                                                                 (Antologi Suara Yang Luka, hlm. 86)

            Daripada maksud sajak di atas jelas menunjukkan bahawa seseorang yang telah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran perlulah menggunakan ilmu dan kemahiran tersebut sama ada untuk diri atau untuk kebaikan orang lain. Seandainya ilmu yang ada tidak diamalkan dan digunakan untuk kebaikan maka ilmu itu tidak akan berguna kepada sesiapa pun termasuklah dirinya sendiri. Dari maksud sajak inilah jelas membuktikan bahawa gambaran modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran sahajalah yang bakal menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.
PENUTUP
Di Malaysia, kepelbagaian masyarakatnya dengan kehidupan budaya, adat resam, bahasa masing-masing boleh mengakibatkan masalah sosial di kalangan generasi muda. Jadi, pendekatan membangunkan modal insan cemerlang itu tentu menuntut pendekatan yang lebih komprehensif.
Dalam keadaan bagaimana sekalipun, modal insan tetap bergantung kepada tahap budaya ilmu yang diperoleh. Kuasa abad ke-21 dikatakan sebagai kekuasaan terhadap kekayaan harta, kekuatan perang dan keganasan dan kuasa juga terletak kepada ilmu pengetahuan
Kesusasteraan laksana perbendaharaan tersembunyi dalam peradaban sesuatu bangsa dan umat manusia yang mencitrakan cernaan kemajuan minda dan tahap pemikiran mereka.  Untuk melahirkan modal insan cemerlang, selain sistem dan dasar pendidikan moden, tujuan pendidikan sepanjang hayat, formal dan tidak formal boleh dicapai sekalipun melalui kesenian yang tercerna dalam bermacam bentuk.  Misalnya, kesenian etnik atau klasik, kesenian rakyat atau tradisional dan kesenian sezaman termasuk seni bina, muzik, teater, seni lukis, seni kraftangan, kegiatan bahasa, sastera, bengkel keilmuan. Bidang sastera dan budaya mampu menjadi alat bantu dalam membentuk dan menjadikan generasi muda negara ini sebagai satu kumpulan masyarakat yang menghargai warisan bahasa, budaya dan sastera negara ini.
Kesimpulannya bidang sastera dan budaya tidak hanya berkaitan dengan kegiatan sastera dan budaya yang sering diketahui umum, seperti dalam acara baca puisi, tari menari atau karya penulisan dalam pelbagai media semata-mata, tetapi ia juga berkaitan dengan aspek pembangunan modal insan.